Apakah Yang Dicari Dalam Hidup Ini
Sebagai makhluk terbaik yang diciptakan oleh Allah, manusia dikurniakan akal budi, boleh berfikir dan menentukan sesuatu yang terbaik. Kehidupan manusia merupakan anugerah yang tidak ternilai daripada Allah Taala di muka bumi ini.
Kita makhluk yang sempurna serta mampu menguruskan kehidupan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan. Namun masih ada yang lupa dan leka. Firman Allah dalam surah ar-Ruum,
Maksudnya: Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya. ( surah Ar-Ruum – ayat 8 )
Ada antara kita yang mungkin tidak sedar bahawa kita tidak mempercayai apa itu hari akhirat dan pertemuan dengan Allah. Dalilnya, kita mengerjakan pekerjaan dunia tanpa memikirkan keuntungan akhirat. Yang difikir hanya apa yang kita bakal diperolehi di hadapan mata.
Maka hidup dan pekerjaan yang dilakukan semuanya berdasarkan apa yang dikehendaki semasa hayat kita. Untuk memperolehi semua itu, manusia terpaksa sentiasa berlumba dalam kehidupan dengan orang lain yang menyebabkan kita kadang-kadang terpaksa mengetepikan soal halal haram, yang boleh dan tidak boleh.
Perlu kita fikir dan ingat bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Setiap sesuatu itu ada gunanya. Sehinggakan batu dan kayu buruk pun ada gunanya. Dunia yang dihuni ini, dan setiap perkara yang diciptakan Allah di dunia ini adalah untuk melengkapkan kehidupan manusia dan ada kegunaannya, sama ada untuk dunia sendiri mahupun untuk di akhirat kelak.
Tujuan hidup manusia sebenarnya bergantung pada manusia itu sendiri, apakah yang diingininya dalam hidup ini, untuk apakah dia hidup di dunia ini. Kehidupan yang bagaimanakah yang dicari? Adakah kemewahan dan keseronokan.
Bagi mendapat jawapan yang tepat dan benar marilah kita kembali kepada asal tujuan manusia ini diciptakan. Untuk apakah pencipta kita (Allah) menciptakan kita di atas muka bumi ini. Dalam surah az-Zariyat Allah berfirman,
Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (az zariyat – 56)
Namun apa yang kita perhatikan pada hari ini, kebanyakan individu itu akan menelusuri hidup mengikut arus yang sudah tersedia di hadapannya, tanpa memikirkan siapakah yang mencipta arus itu. Antara kita tidak tahu matlamat yang hendak dicapai.
Kita bekerja seharian, bertungkus-lumus, keluar pada waktu pagi dan pulang pada sebelah petang. Untuk apa kita bekerja hingga sebegitu rupa. Sehinggakan ada kalanya kita bekerja seolah-olah tidak cukup siang, sehinggakan waktu rehat pada malamnya dikorbankan, semata-mata untuk bekerja.Sedangkan aturan dan panduan hidup yang telah digariskan oleh Allah tidak begitu. Allah jadikan siang untuk kita bekerja dan mencari keperluan hidup, dan dijadikan malam itu untuk beristirahat.
Maka dengan istirahat pada malam hari itu menambahkan kekuatan bagi kita agar pada esoknya dapatlah diteruskan pekerjaan dan usaha mencari kehidupan, atau menambah bekalan untuk kehidupan kita yang seterusnya. Firman Allah dalam surah al-Furqan;
Maksudnya ; Dan Dialah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.
Manusia digalakkan untuk mencari kehidupan di dunia, dan mencari rezeki. Seperti dianjur oleh Rasulullah, yang antara lain menyatakan manusia perlulah beramal untuk dunia seolah akan hidup selamanya dan beramal untuk mati seolah kita akan mati esok hari. Perlu diingat, dalam ajaran Islam turut ditekankan juga adalah setiap umatnya tidak boleh membiarkan keturunannya meminta-minta setelah dia meninggal dunia. Hal dijelaskan dalam satu hadis yang bermaksud,
``Daripada A’mir bin Saad, bapanya berkata; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menziarahiku ketika mana aku jatuh sakit teruk ketika haji wada’, aku berkata kepadanya ; aku telah jatuh sakit seperti mana engkau lihat sekarang, dan aku mempunyai harta yang banyak dan tiada pewarisku melainkan seorang anak, perlukah aku sedekahkan dua pertiga daripada hartaku itu?.Rasulullah menjawab “tidak”. Aku berkata ; separuh daripadanya?. Rasulullah menjawab “ tidak”. Aku berkata; satu pertiga daripadanya?. Rasulullah menjawab “ satu pertiga masih banyak, sesungguhnya engkau tinggalkan pewaris kamu ( anak / keluarga / isteri ) dalam keadaan kaya lebih baik dari engkau tinggalkan mereka dalam keadaan fakir meminta-minta kepada manusia. Dan apa yang kamu nafkahkan terhadap keluarga kamu mengharapkan reda Allah kamu akan diberi pahala, sehinggakan sesuap makanan yang kamu suapkan ke dalam mulut isteri kamu, akan diberi pahala oleh Allah”.
Islam tidak menyuruh umatnya hanya beribadat sahaja tanpa memikirkan soal keduniaan sehingga kemiskinan menyelubungi mereka. Cuba kita fikir kenapa Allah jadikan dunia ini untuk kita hidup? Dan, bagaimana untuk hidup di dunia ini dengan membuang segala yang terdapat di dalamnya.
Bagaimana mungkin kita boleh bergerak di lautan kalau tidak punyai bahtera, bagaimana kita mendapatkan keperluan kalau tidak punyai wang.
Ini semua perlu dicari dan diusahakan bagi mencapai tahap kesempurnaan dalam kehidupan.
Realitinya pada hari ini, kita bukan sahaja mengejar keduniaan seolah akan hidup selamanya sehingga terus meninggalkan akhirat. Setidak-tidaknya jadikan apa yang diusahakan dalam perkara keduniaan itu untuk mendapatkan akhirat.
Namun kita terus lalai dibuai keenakan dunia dan lupa tuntutan akhirat. Kita terus berebut untuk memiliki rumah yang mewah, kereta mewah, perusahaan yang besar, pekerja yang ramai, dihormati manusia, disegani, dan disanjung.
Tanpa mengira dari mana, bagaimana, dan apa cara sekalipun kita berebut demi untuk mencapai apa yang dihajati. Ada yang sanggup menggunakan wang yang bukan miliknya untuk memenuhi keinginan. Ada yang sanggup berebut kuasa, wang, dan sebagainya dari sahabat sendiri, sehinggakan kawan jadi lawan.
Ada yang sanggup mengubah dasar supaya memihak kepadanya. Ada yang sanggup memujuk orang agar memihak kepadanya. Ada yang sanggup “memijak” orang lain untuk naik ke puncak kejayaan demi memenuhi hasrat dan keinginan nafsu dunia.
Untuk apakah semua ini. Untuk diri kita sendiri, untuk penuhi keinginan nafsu serakah kita yang membuak. Pada saat ini apa yang kita usahakan itu tidak dapat dilorongkan ke arah akhirat.
Kita dituntut untuk mengejar keduniaan kerana satu keperluan hidup. Namun hidup di dunia hanyalah sementara, yang kekal di akhirat. Firman Allah taala dalam surah Al-Ana’am,
Maksudnya : dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
Oleh yang demikian, sewajarnya kita jadikanlah apa saja pekerjaan yang dilakukan, hasil kemewahan dan harta benda yang diperolehi itu sebagai bekalan untuk menuju ke akhirat.
Mungkin ada yang berpendapat, bagaimana mungkin kita jadi segala amalan itu sebagai bekalan di akhirat, sedangkan bekalan akhirat itu solat, puasa, zakat, haji, dan amalan lain yang diperintahkan Allah. Jika begitu kefahaman kita, kita sudah salah faham terhadap agama.
Cuba kita renungkan satu hadis nabi “ apabila mati anak adam terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara, anak yang soleh yang mendoakannya, amalan yang soleh yang dikerjakannya, dan amal jariah yang dilakukannya semasa hidup”.
Daripada hadis ini dapat difahami bahawa, semua amalan di atas dunia ini tidak akan dapat dibawa sebagai bekal mahupun sebagai pelindung daripada seksaan kecuali tiga perkara tersebut. Jadi bagaimana kemewahan dan dan harta benda dunia boleh dijadikan bekalan akhirat? Dalam satu hadis yang lain, ( tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat di hadapan Allah sehingga disoal tentang lima perkara; tentang umurnya, waktu mudanya,dan hartanya daripada mana ia dapat dan bagaimana membelanjakannya, dan apa yang dia amalkan daripada ilmunya).
Oleh yang demikian sekiranya apa yang diusahakan di dunia ini kita belanjakan dan kita gunakannya untuk tujuan kebaikan serta mendapat keredaan Allah, maka itulah jawabannya.
Mungkin ada yang mempunyai rumah besar dan mewah yang digunakan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak dan isteri. Di dalam rumah itu pula dipenuhi dengan amalan yang baik seperti membaca al-Quran dan bukannya kegiatan maksiat parti arak dan tari-menari.
Jika kita mempunyai rumah yang banyak hasil titik peluh dari sumber yang halal, dan rumah itu disewakan, lalu hasilnya digunakan ke arah kebaikan ataupun kita waqafkan ke jalan Allah. Atau, jika kita mempunyai banyak kenderaan mewah dan digunakan untuk kebaikan seperti pergi ke masjid dan menuju ke tempat yang diredai Allah.
Kesimpulannya, sekiranya kita tinggalkan harta kekayaan kepada anak-anak yang sudah diberi didikan yang sempurna mengenai ilmu dunia dan akhirat kemudiannya menjadi anak yang soleh, mereka akan membalasi usaha itu dengan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kita di akhirat.
Begitu juga harta yang lain di dunia ini, sekiranya digunakan ke arah kebaikan dan menuntut keredaan Allah, maka harta itu akan amal soleh dan amal jariah. Insya-Allah, kita akan selamat di akhirat, dan perkara keduniaan yang kita miliki itu akan dapat membawa kita ke akhirat bersama dengan pahala sebagai gantinya.
Apakah masih belum kita temui pencarian kita di dunia ini? Dunia hanyalah tempat persinggahan untuk menambahkan bekalan bagi meneruskan perjalanan yang masih jauh iaitu ke akhirat.
Sayugianya kita mencari bekalan yang memungkinkan kita sampai ke akhirat dengan baik dan dapat kita “membeli” keadaan yang baik, mewah dan sempurna di akhirat.
http://www.yadim.com.my/Sosial/SosialFull.asp?Id=586